INSAN CEMERLANG BEBAS RASUAH


Pidato ini saya karang sendiri untuk pelajar saya yang mewakili sekolah pada Pertandingan Pidato Pencegahan Rasuah Peringkat Negeri yang diadakan pada bulan Ogos 2008.

Terima kasih saudara pengacara majlis, barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana, penjaga masa yang setia, dif-dif kehormat, rakan-rakan seperjuangan yang petah berhujah dan seterusnya sidang hadirin warga dewan aspirasi negara! Assalamualaikum Wmtlh & salam sejahtera.

INSAN CEMERLANG BEBAS RASUAH, demikianlah mauduk pidato yang akan saya sampaikan pada pagi yang berbahagia ini. Namun, sebelum spekulasi menjadi sensasi, biarlah saya interpretasikan dahulu mauduk pidato ini.

Jika dirangkumkan; frasa ‘insan yang cemerlang’ bermaksud manusia yang sangat baik, manakala frasa ‘bebas rasuah’ ditakrifkan sebagai terlepas daripada amalan sogokan atau suapan.

Pepatah Melayu ada mengatakan, kalau asal benih yang baik, dicampak ke laut menjadi pulau. Dalam konteks pidato saya, insan yang cemerlang dari segi rohani dan jasmani, secara teori dan praktis, dapat menghindari amalan rasuah. Percaya atau tidak; dengar dengarkan bingkisan wacana saya yang pertama, di bawah lembayung kata:

 INSAN CEMERLANG BERAKHLAK MULIA!

Warga dewan berwawasan…

Badan Pencegah Rasuah menegaskan salah satu faktor berlakunya rasuah ialah kemerosotan penghayatan nilai-nilai agama dan moral. Manusia yang tidak berakhlak hidup bertuhankan hawa nafsu dan tamak terhadap kebendaan. Akhlak yang mulia boleh menjadi banteng rasuah yang paling utuh. Ini kerana, nilai-nilai akhlak menjadi garis panduan yang membataskan tindakan rohani dan jasmani manusia. Akhlak mulia juga dapat menghasilkan insan yang berbudi pekerti dan baik.

Rasulullah s.a.w sendiri pernah ditawarkan pelbagai kesenangan hidup, harta, takhta dan wanita oleh kaum Quraisy supaya meninggalkan perjuangan mendaulatkan Islam tetapi, kerana akhlak dan iman yang teguh, rasuah dapat dihindari. Tuntasnya, insan yang cemerlang bebas rasuah kerana akhlak yang mulia.

 Bingkisan wacana saya yang kedua di bawah kata kunci:

INSAN CEMERLANG BERETIKA!

Etika merupakan satu set tata perlakuan yang perlu diikuti dan ditaati, merangkumi semua aspek hidup dan setiap lapisan masyarakat. Dalam konteks sesebuah organisasi, etika dapat meningkatkan prestasi perkhidmatan dan kualiti pengeluaran. Etika juga dapat mewujudkan anggota yang bersih cekap dan amanah serta bertanggungjawab dalam tugasnya. Amalan rasuah adalah satu perbuatan yang tidak beretika. Ia dizahirkan oleh rasa kecintaan berlebihan terhadap kehidupan duniawi, dengan mengumpul harta benda tanpa mengira halal dan haram.

Rasulullah s.a.w telah meramalkan akan datang suatu zaman di mana manusia menjadikan wang sebagai berhala. Wang dijadikan aset untuk membangunkan masyarakat dan negara. Akibatnya, amalan rasuah menjadi ‘alah bias tegal biasa’. Namun, insan yang cemerlang sentiasa menjadikan etika sebagai pegangan untuk menghasilkan budaya kerja yang cemerlang.

 INSAN CEMERLANG BERAKAUNTABILITI!

Akauntabiliti boleh ditakrifkan sebagai sikap tanggungjawab yang mendalam terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara. Dalam konteks sektor awam, ianya merujuk kepada tanggungjawab individu atau organisasi yang menguruskan sumber awam. Insan yang cemerlang memiliki ciri-ciri akauntabiliti yang tinggi seperti adil, jujur, amanah dan telus. Idealnya, sikap kebertanggungjawapan yang tinggi akan dapat menghalang budaya rasuah dalam sesebuah organisasi dan individu.

 Bingkisan wacana saya yang keempat:

INSAN CEMERLANG BERINTEGRITI!

Warga dewan yang saya muliakan…

Pembaziran dan pengurusan yang lemah dalam tadbir urus awam bagi sesetengah agensi kerajaan pada masa kini adalah natijah daripada kemerosotan nilai integriti dalam diri penjawat awam. Tekanan modenisasi dan dodoian material telah melemahkan sistem pertahanan diri individu. Ironisnya, insan yang cemerlang, bebas daripada pengaruh yang memesongkan matlamat kerja, bersifat amanah dan sentiasa mendambakan hasil kerja yang sempurna. Sifat integriti yang berakar umbi dalam diri insan yang cemerlang dapat mengelakkan sebarang penyelewengan dalam sebarang transaksi kerja, sekaligus merencatkan benih-benih rasuah dalam sektor awam.

Wacana saya yang kelima:

INSAN CEMERLANG BERKUALITI!

Imam al-Ghazali ada menyatakan bahawa sesuatu kebaikan akan mencipta kesan kepada roh manusia. Roh pula mendorong jasad mengulangi kebaikan dan lama kelamaan kebaikan akan menjadi satu kualiti yang sebati dalam diri. Insan yang cemerlang secara universal mempunyai IQ, emosi dan rohani yang berkualiti. Insan yang cemerlang dapat berfikir dengan sempurna dan matang serta dapat membezakan antara yang baik dan buruk.

4 Responses to “INSAN CEMERLANG BEBAS RASUAH”

  1. Alissa Anna Says:

    Pidato yang sangat bagus… Saya suka teks pidato nie..

  2. Thanks Alissa Anna :)

  3. siti khadijah azam Says:

    pidato yang bagus! saya suka dengan pengunaan bahasa di atas cikgu. :D

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: