PENJENAYAH RASUAH PARASIT KESEJAHTERAAN MASYARAKAT


Teks pidato ini juga saya karang sendiri untuk pelajar. Teks ini menang tempat pertama peringkat zon negeri sembilan tetapi sayangnya, untuk pertandingan peringkat negeri terpaksa mengundi lagi dan dapat pula tajuk lain.

Hendak kaya berdikit-dikit… Hendak berani berlawan ramai…

Terima kasih saudari pengacara majlis, yang saya hormati barisan panel hakim yang adil dan saksama, penjaga masa yang setia, dif-dif kehormat, rakan-rakan seperjuangan dan seterusnya sidang hadirin dan hadirat aspirasi negara. Assalamualaikum warahmatullah… dan salam sejahtera.

PENJENAYAH RASUAH PARASIT KESEJAHTERAAN MASYARAKAT. Demikianlah mauduk pidato yang akan saya sampaikan pada petang yang berbahagia ini. Namun, sebelum spekulasi menjadi sensasi, biarlah saya definisikan dahulu, 3 frasa penting mauduk pidato ini.

Frasa ‘penjenayah rasuah’ jika dirangkumkan bermaksud orang yang memberi @ menerima sogokan @ suapan @ sebarang keraian untuk tujuan gelap, yakni menyalahi undang-undang. ‘Parasit’ dari segi bahasa boleh difahami sebagai orang yang menumpang hidup pada seorang yang lain, hatta memudaratkan mangsanya. Manakala, dari segi istilah kesejahteraan masyarakat membawa maksud keselamatan, kesenangan dan ketenteraman sesebuah masyarakat dalam sesebuah negara.

 Hadirin yang saya muliakan…

Jenayah rasuah telah berlegar dalam rentetan sejarah masyarakat seantero dunia. Kini ianya telah menjadi satu fenomena global yang bukan rahsia lagi. Kerana dalam sejarah peradaban manusia, penjenayah rasuah ibarat duri dalam daging yang menumpang ‘tuah’ orang lain dan dalam masa yang sama membawa kebejatan dalam masyarakatnya.

 Hujah saya yang pertama, dengan untaian kata-kata “RASUAH MENCEMARKAN KETUANAN BANGSA!”

 Hadirin sekalian,

Tidak ada satu pun bangsa di dunia ini yang menghalalkan rasuah. Firman Allah dan sabda Nabi jelas menegaskan rasuah sebagai perbuatan yang hina. Ini kerana rasuah mencemarkan imej dan maruah diri, keluarga, masyarakat dan negara. Bak kata pepatah, seekor kerbau membawa lumpur, terpalit semua. Pada masa kini, Indeks Persepsi Rasuah mencatatkan negara Myanmar dan Somalia sebagai negara yang sangat tinggi dari segi amalan rasuah. Lihat sajalah bagaimana keadaan masyarakatnya yang menghadapi pelbagai krisis sosial seperti kemiskinan dan kebuluran. Oleh itu, tidak dapat dinafikan, rasuah sememangnya parasit kesejahteraan masyarakat kerana ianya mencemarkan imej dan ketuanan sesuatu bangsa.

 Hujah saya yang kedua, “RASUAH MELINDUNGI DAN MENGALAKKAN JENAYAH”…

Denis Osborne, seorang pakar pengurusan awam dan etika berkata, kesan rasuah lebih menyeluruh, termasuk mewujudkan jenayah yang akan mengancam nyawa masyarakatnya. Ini kerana, gejala rasuah boleh meresap dalam institusi polis dan kehakiman. Bank Dunia mendapati bahawa jenayah terancang dan keganasan di negara-negara Amerika Latin dalam dasawarsa ini telah didalangi penjenayah rasuah. Misalnya, kegiatan ‘gang’ dan ‘mafia’ di Mexico. Pegawai-pegawai polis menerima sogokkan untuk melindungi dan mengabaikan kegiatan jenayah. Selain itu, rasuah juga boleh membawa kepada pembunuhan, misalnya jika seorang hakim ‘dibayar’ untuk melepaskan seorang pembunuh daripada sabitan. Akibatnya, kegiatan jenayah terus beraja di mata, bersultan di hati. Kehidupan masyarakat ibarat ‘telur di hujung tanduk’.

 Hujah saya yang ketiga… di bawah lembayung kata “RASUAH MERAGUT KEMAKMURAN NEGARA”…

 Hadirin yang budiman…

Rasuah merupakan musuh pembangunan dan kemakmuran ekonomi sesebuah negara. Bank Dunia menganggarkan bahawa rasuah menyebabkan deflasi sebanyak 0.5 hingga 1 peratus setahun. Pakar ekonomi berpendapat beberapa buah negara Asia dan Afrika sangat lemah daripada sudut pembangunan ekonomi, khususnya di Afrika, kerana rasuah menghalang penyertaan pelaburan tempatan dan menyekat pelabur asing. Kajian IMF membuktikan bahawa pelaburan di negara-negara yang korup, kurang 5 peratus berbanding negara yang bebas korup. Negara Thailand misalnya, kerugian RM14 billion pada tahun 2006 kerana rasuah. Nah! Hadirin sekalian bukankah sudah terang lagi bersuluh, bahawa rasuah sememangnya parasit kesejahteraan masyarakat lantaran ianya meragut kemakmuran ekonomi, ‘ibarat dedalu api hinggap di pohon kayu, hinggap di batang, batang mati, hinggap di ranting, rantingnya patah!’

 Hujah saya yang keempat “RASUAH MEMPERKAYA YANG KAYA, YANG MISKIN PAPA KEDANA”…

Rasuah menyebabkan pengagihan kekayaan yang tidak seimbang. Natijahnya, golongan yang kaya bertambah kaya dan golongan miskin bertambah miskin kerana tidak mempunyai ‘kabel’ yang baik. Transparency International 2006 mendedahkan bahawa terdapat perkaitan yang rapat antara gejala rasuah dan kemiskinan. Ini kerana, ¾ daripada negara-negara yang tegar rasuah adalah terdiri daripada negara-negara yang miskin, di mana rakyatnya berpendapatan kurang 1 dolar amerika sehari. Jika rasuah terus bermaharajalela, masyarakat biasa akan terbeban dengan kos sosial yang semakin meningkat seperti cukai-cukai dan frasarana yang boleh dibilang dengan jari. Akibatnya, yang kaya, bertambah kaya, rakyat miskin menjadi papa kedana.

Hujah saya yang terakhir…. “Rasuah melemahkan kepimpinan negara”…

Sidang hadirin yang saya muliakan…

Budaya rasuah melemahkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. Sejarah telah membuktikan bahawa banyak negara-negara di dunia yang tumbang dek pemimpin yang korup. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan kerana setiap kali ‘transaksi’ berlaku pemerintah kehilangan hasil dan swadaya. Ibarat kendur mengecut, tegang memutus; pentadbiran negara menjadi kucar kacir dan akhirnya akan menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi dan pengabaian kepentingan masyarakat. Mengambil iktibar daripada negara jiran kita Filipina yang satu ketika dahulu rebah tampuk pemerintahannya kerana pimpinan Marcos yang korup. Kita juga pasti tidak mahu mengulangi sejarah silam kerajaan Abassiyah dan Mamluk yang turut kecundang bahana rasuah.

 Akhirnya, hadirin sekalian…

Rasulullah s.a.w telah bersabda, ‘pemberi dan penerima rasuah, kedua-duanya akan masuk neraka’. Membasmi rasuah menjadi antara salah satu agenda penting yang diberi perhatian utama oleh kepimpinan Dato’ Seri Abdullah Hj. Ahmad Badawi sejurus memegang tampuk pemerintahan negara pada tahun 2004. Jesteru, marilah kita semua masyarakat Malaysia yang beragama dan bernegara, menghindari sebarang perbuatan rasuah kerana sememangnya, penjenayah rasuah PARASIT kesejahteraan masyarakat!

Wabillahitaufik walhidayah……..

 

30 Responses to “PENJENAYAH RASUAH PARASIT KESEJAHTERAAN MASYARAKAT”

  1. Suziana Afie Puddin Says:

    Teks pidato yang sangat baik.

  2. Suziana Afie Puddin Says:

    Teks pidato yang sangat baik.. penggunaan peribahasa yang bertetapan dengan isi yang dicadangkan.

  3. hehe…tq suzi….

  4. salam !
    teks pidato ni best !

  5. MOHAMAD SUKRI BIN MOHD. NOR SAMAWI Says:

    pidato ini sememangnya best…..

  6. Thanks mr. Sukri…

  7. syabas adikku…..pidatonya bagus sekali….

  8. Teks pidato yang sangat bernas dan terprinci dalam menyentuh semua aspek dan diolah dengan kalimat-kalimat yang tuntas.
    Tahniah!!!

  9. salam..bleh pinjam ka teks ni?

  10. Thanx cikgu zue..nk mntak izin gnakn teks ni cz hjung blan mac sy ad ptndingan pdato draja pra u..

  11. @hatimilikannur@yahoo.com…tak sempat nak approve komen, boleh…gunalah, modify sikit2 hehe

  12. Terima kasih semua atas komen2 :)

  13. assalam cikgu zue..
    sy nk mnx pendapat cikgu tentang isi yg sesuai
    dengan tajuk ‘rasuah ditegah,maruah dijunjung’
    harap cikgu dpt membantu..
    terima kasih :)

    • Wsalam wm…saya rasa yg ni boleh masukkan kesan2 rasuah terhadap ibdividu, keluarga, agama, masyarakat (bangsa) dan negara. Mula2 nyatakan dahulu maksud tajuk…pastu pengenalab ttg rasuah….isi ptama masukkan kesan rasuah trhdp individu…beri contoh/hujah2 sokongan…diikuti poin lain…:)

  14. Aimi Nabihah Says:

    Cikgu zue ! boleh sya guna teks ini utk pertandingan pidato di sek saya?

  15. salam cgu zue, sye nk tye tjuk pidato “alam tercemar: silap di mana?’ apa yg p’lu ad dlm pdato sye??

    • Wsalam. Rasanya faktor2 pencemaran alam ni. Mula2 definisi dulu maksud pencemaran dan alam. Lepas tu rumuskan pencemaran alam dalam konteks karangan.

      Isi cadangan:

      1. Pembangunan yg tidak terancang.
      2. Urbanisasi (pembandaran).
      3. Faktor manusia (x kesedaran, cuai, tamak, x bertanggungjawab etc).
      4. Masalah penguatkuasaan (undang2, hukuman etc)
      5. Gaya hidup moden (pgunaan aircond, kereta, rokok etc).

      Banyak lagi…. cuba google.
      Semoga yg ni dpt membantu ;)

  16. Puteri Nur Fifi(Miku) Says:

    bagusnyer…boleh ckp ikut siket2 n nk ckp kt dpn jer ni..hehe terima kasih ckgu

  17. farahin_ashaari Says:

    salam, boleh sy gune teks pidato ini tok prtndgn pidato?

  18. afifah.zaid Says:

    salam.. mohon kebenaran gune teks ni utk tujuan pembelajaran, terima kasih cikgu

  19. salam…mintak izin copy ye cg…untuk rujukan anak didik….mekaseh banyak2

  20. Florina J Says:

    selamat sejahtera…mohon kebenaran jdkan teks sebagai rujukan ya… terima kasih :)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: