Archive for Peranan Bahasa Melayu

Bahasa Jiwa Bangsa

Posted in Teks Pidato with tags , , , , , , on March 29, 2012 by zue

TEKS PIDATO PRA U PERINGKAT NEGERI SEMBILAN 2012

SMKA PEDAS, REMBAU (28 MAC)

Terima kasih saudara/i pengacara majlis.

Barisan panel hakim yang arif lagi bijaksana.

Dif-dif kehormat.

Rakan-rakan seperjuangan.

Sidang hadirin warga dewan, aspirasi negara.

Assalamualaikum WM WB dan salam 1 Malaysia.

Prof. Dr Awang Sariyan ada menyatakan bahawa ”kisah kegemilangan Bahasa Melayu (BM) pada zaman silam telah membuana di jagat raya…namun, sekadar mengagumi sejarah silam, kita tidak mungkin dapat mengangkat martabatnya”…Justeru, berdirinya saya di pentas perdana ini dengan penuh iltizam, ingin menyebarkan sedikit dogma berpandukan tinta dan wacana para sarjana, melalui mauduk pidato saya… BAHASA JIWA BANGSA.

Bahasa, menurut Kamus Dewan, adalah ’sistem lambang bunyi suara yang dipakai sebagai alat perhubungan dalam satu kelompok manusia. JIWA, BERMAKSUD ”nyawa atau roh”. Manakala, bangsa pula bermaksud, ”kumpulan manusia dalam satu ikatan ketatanegaraan”. Dalam konteks pidato saya, konsep bangsa dan bahasa secara total merujuk kepada bangsa Malaysia dan bahasa kebangsaan kita, yakni BM.

Persoalannya sidang dewan sekalian, mengapakah bahasa itu dikatakan ’jiwa’ @ ’roh’ bangsa? Apakah keistimewaan BM kita yang sekian lama diagung-agungkan dalam adikarya seantero dunia. Marilah bersama-sama saya, merungkai persoalan ini satu persatu melalui empat nirmala kata, inspirasi mahakarya.

Sidang hadirin sekalian…

Heraclitus menyatakan bahawa bahasa sangat berkait rapat dengan semua aspek kehidupan manusia. Melalui bahasa, sesuatu masyarakat mempamerkan nilai-nilai dan budaya mereka kepada bangsa lain. Pepatah Melayu menyatakan, ’bahasa menunjukkan bangsa’. Hatta, saya rangkumkan frasa ini dengan nirmala kata saya yang pertama; BAHASA MELAYU MENCERMINKAN JATI DIRI BANGSA MALAYSIA.

Jati diri @ identiti sesuatu bangsa merujuk kepada ciri-ciri yang membezakan sesuatu kumpulan manusia dengan kumpulan manusia lain. Menuturkan sebuah bahasa yang sama ialah antara ciri yang menentukan jati diri sesebuah bangsa.Tahukah anda? Rakyat Switzerland menuturkan 4 bahasa yang berlainan iaitu Bahasa Perancis, Jerman, Italy dan Roman mereka semua adalah bangsa Swiss. Di Malaysia, kita juga mempunyai satu bahasa kebangsaan yang dituturkan olah masyarakat pelbagai keturunan tanpa        was-was. Tuntasnya, realiti BM sebagai cermin jati diri bangsa Malaysia, tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas.

Hadirin yang saya muliakan.

Nirmala kata saya yang kedua; BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA ILMU.

Prof. Dr Shahir Mohamad Zain menyatakan bahawa BM pernah mengungkapkan ilmu dalam zaman kegemilangannya. Catatan-catatan Melayu Kuno dalam prasasti Funan dan Champa seawal abad ke-7 mengandungi ilmu-ilmu asas dalam bidang sains dan matematik. Bahasa ini kemudiannya berkembang dalam pelbagai bidang seperti ekonomi, teknologi, undang-undang, sastera dan agama.

Sehingga mutakhir ini, BM telah berfungsi sebagai bahasa akademik yang lengkap dengan laras-laras bahasa dalam ilmu moden. Oleh itu, tidak hairanlah jika BM kini sedang diajar dan dikaji di 108 buah pusat pengajian tinggi di serata dunia. Sebagai pewaris tinta para sarjana, sejuk hati dan mata memandang, apatah lagi telinga ini mendengar, setiap bait kata yang dilafazkan oleh para peserta Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu baru-baru ini. Inilah citra BM sebagai bahasa ilmu.

Meniti kita kepada nirmala kata saya yang ketiga; BAHASA MELAYU PEMANGKIN PERPADUAN.

Konsep perpaduan telah lama diterapkan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Sehingga hari ini, perpaduan masih lagi menjadi agenda utama negara di bawah Gagasan 1 Malaysia. Dengan bahasa yang sama, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum tetap bersatu padu walaupun mempunyai latar belakang agama, adat resam dan budaya yang berbeza. Selepas negara mencapai kemerdekaan, BM telah dijadikan bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan.

BM juga telah menjadi agen penyatuan rakyat dari segenap ceruk rantau, kesatuan dan persatuan, sama-sama melupakan perbezaan ras dan dogma dalam perjuangan membebaskan Tanah Melayu dari belenggu kolonial serta meredakan kemelut perkauman dalam era pasca kemerdekaan. Bukankah Herodotus ada berpesan bahawa, ”bangsa yang melupakan sejarah, akan mengulangi  sejarah”. Oleh itu, fikir-fikirkan.

Nirmala kata saya yang keempat dan terakhir; BAHASA MELAYU TERAS PEMBINAAN NEGARA BANGSA.

BM telah menjadi asas pembinaan negara bangsa Malaysia yang merdeka. Menurut Prof. Dr Teo Kok Seong, maruah bangsa Malaysia terletak pada martabat bahasa Melayu yang menjadi lambang kedaulatan pemerintah dan negara. Ini kerana, BM telah mendukung peranan penting sebagai bahasa peradaban dan tamadun tinggi pada suatu ketika dahulu. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka, BM digunakan secara meluas dalam pelbagai bidang seperti pentadbiran dan undang-undang.

Ironisnya, di Malaysia kita tidak perlu menjadi seperti Biscmark dan Machiavelli yang membina negara bangsa mereka dengan kuku besi, helah dan darah. Cukup sekadar, memartabatkan BM sebagai bahasa kebangsaan sebagai ramuannya.

Sidang dewan sekalian…

Ingin saya simpulkan, bahawa BM bukan semata-mata untuk Orang Melayu tetapi, untuk semua rakyat Malaysia lantaran bahasa mencerminkan identiti dan citra penuturnya. Daripada bahasa juga, lahir budi bahasa, ilmuan, keharmonian dan kecemerlangan bangsanya.

Akhir kata dari saya…….

Anak jati Negeri Sembilan…

Untuk menjadi bangsa yang dihormati dan disegani, BAHASA perlu dijulang tinggi…Yakinlah (nyanyi), Bahasa Jiwa Bangsa.

Sekian, Wabillahitaufiqwalhidayah….

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.